Halaman

Selasa, 9 Ogos 2011

Buku Negara Berkebajikan tajdid siyasi PAS




KUALA LUMPUR, 9 Ogos: Pelancaran buku karangan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berjudul Konsep Asas Negara Berkebajikan merupakan satu lagi siri gerakan tajdid siyasi di Malaysia dalam mempelopori Negara Berkebajikan yang dibawa oleh PAS seperti mana yang ditegaskan dalam muktamar yang lepas.

“Pelancaran buku ini sangat ditunggu-tunggu oleh seluruh rakyat Malaysia yang dahagakan keadilan,” kata Penolong Setiausaha Dewan Ulamak PAS Pusat, Ustaz Nazmi Nik Din.

Katanya, buku tersebut mengandungi 7 bahagian perbincangan yang bermula dengan kupasan tentang ciri Negara Berkebajikan dan berakhir dengan kupasan berkenaan ‘Agenda PAS Ganti Umno’.

Buku itu, ujarnya mengandungi 86 halaman dengan kupasan yang sangat menarik yang berkisar tentang konsep asas Negara Berkebajikan.

Menurutnya, di antara perkara yang diulas oleh Tuan Guru Presiden di dalam buku karangan beliau tersebut ialah berkenaan ciri-ciri Negara Berkebajikan dan perbezaan di antara Negara Berkebajikan (Nation Of Care and Opportunity) dengan Negara Kebajikan (Welfare State) bawaan Barat.

Beliau berkata, buka itu memberikan erti yang sangat besar kepada perjuangan untuk menegakkan keadilan di Malaysia ketika mana Umno BN menjuarai kezaliman dan ketidakadilan di negara ini.

Menurutnya Iagi, buka berkenaan sangat memberikan signifikan yang besar apabila dilancarkan oleh Mursyidul Am PAS, Tuan Guru datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat pada 2 Ramadhan lalu di qaryah Ramadhan, Kota Bharu yang mana Allah SWT senantiasa menekankan peri pentingnya menjaga kebajikan sesama manusia.

“Umno sudah tidak relevan lagi untuk rakyat Malaysia, rakyat Malaysia memerlukan suatu perubahan yang besar untuk mencapai cita-cita keadilan yang sebenar,” ujar beliau lagi.

Beliau juga turut melahirkan keyakinan bahawa Dewan Ulamak PAS Pusat akan memainkan peranan yang positif dalam usaha memastikan impian untuk mewujudkan sebuah Negara Berkebajikan yang selari dengan tuntutan Islam dapat direalisasikan.

Buku itu diterbitkan oleh Pejabat Presiden PAS dan Dewan Ulamak PAS Pusat.

PAS kunjungi Jais dan gereja 15 dan 16 Ogos



KUALA LUMPUR, 9 Ogos: PAS telah menghantar surat rasmi kepada Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) dan gereja Methodist Damansara Utama bagi menetapkan tarikh pertemuan antara mereka.

Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali (gambar) berkata, kedua-dua surat itu telah dihantar melalui faks ke pejabat kedua-dua badan itu pagi ini.

"Kami cadangkan kunjungan kepada Jais dibuat pada 15 Ogos ini manakala kunjungan ke gereja Methodist pula akan dibuat 16 Ogos ini. Jika kedua-dua pihak bersetuju dengan tarikh itu, kami akan ke sanalah," kata Mustafa kepada Harakahdaily.

Sehingga kini, PAS belum menetapkan siapa wakil mereka ke pertemuan itu namun Mustafa berkata, Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang tidak akan dapat bersama kerana sudah ke luar negara.

"Besar kemungkinan ia akan diketuai oleh Timbalan Presiden Haji Mohamad Sabu di samping saya dan beberapa yang lain," kata Mustafa.

Pertemuan dengan Jais dan gereja diputuskan oleh mesyuarat jawatankuasa PAS Pusat Ahad lepas.

Ia bertujuan untuk mendapat gambaran dari mereka sendiri sebelum membuat apa-apa pendirian ekoran tindakan Jais memeriksa gereja berkenaan baru-baru ini.

Tindakan Jais memeriksa gereja itu telah mendapat reaksi yang panas dari pelbagai pihak di negara ini. Ada yang menyokong di samping ada yang membantahnya secara keras.

Ekoran itu, PAS memutuskan untuk mendapatkan bukti dan gambaran yang jelas sebelum mengambil apa-apa sikap.


Hari ini genap 10 hari kita berpuasa...adakah amalan2 puasa yang lepas diterima oleh ALLAH? Moga-moga dengan kesungguhan kita beramal di bulan yang mulia ini beroleh pahala yang besar disisi ALLAH taala..